Ubah Kecewa Menjadi Simpati
Tak sangka… kadang-kadang, hanya dengan kata-kata, kita mampu menyelamatkan rumah tangga orang lain.
(Tapi.. semua itu atas izin Allah juga).
Bila seseorang datang mengadu masalah, tak semua perlu disambut dengan,
“Cerai je.”
“Tinggalkan dia. Lelaki toxic buat apa disimpan2”
Kadang yang bertanya itu, dia cuma nak didengar.
Kadang, dia cuma perlukan harapan.
Cuma ingin tahu… masih ada ruang untuk mencuba?
Dan kadang-kadang, kita sendiri tak sedar…
diam kita, atau nasihat kecil yang kita beri
itulah yang jadi titik tolak untuk dia bertahan.
Kisahnya begini.
Malam itu, Datin Cerry (bukan nama sebenar) menghantar mesej panjang.
“Miss Mirror, saya stres. Suami saya berubah.
Dulu dia lembut, sekarang cepat marah.
Dulu dia selalu puji, sekarang mata dia lebih suka meliar pada perempuan2 seksi kat media sosial.”
Nada dia tenang. Tapi dalam setiap ayat, ada luka yang dah lama dia simpan.
“Bayangkan… saya buka phone dia,
saya tengok dia follow ramai perempuan dedah sana-sini. Social medianya dah macam asrama perempuan!. Saya ni isteri dia MM. jaga anak-anak, jaga rumah, masak, menyediakan semuanya. Tapi dia layan saya macam ni. Kecewa hati saya. Macam saya tak cantik langsung.”
Paling menyedihkan, bila dia mengadu pada orang sekeliling, jawapan mereka CERAI!!
Tapi malam tu, entah kenapa, dia tergerak hati bercerita pula pada saya.
Saya tak beri jawapan besar pun.
Cuma satu cadangan kecil:
“Cuba tanya dia…
bukan sebagai isteri yang sakit hati,
tapi sebagai manusia yang nak faham manusia lain. Dia ada sakit apa-apa ke?”
Dia senyap sekejap.
Kemudian jawab:
“Ya… dia memang ada sakit pun.”
(Sakit yang tak dapat saya kongsikan di sini.)
Dan masa tu saya terfikir…
Oh patut lah pun. Bila lelaki sakit, bukan fizikal saja yang lemah.
Jiwanya pun sunyi.
Dia tak bertenaga. Dia hilang arah.
Dan kadang, dia mula rasa dirinya…
“Tak sempurna lagi sebagai lelaki.”
Apatah lagi bila dia tahu isterinya masih lagi cantik bergetah, berjalan dengannya pun lelaki lain masih dua kali toleh. Hati suami mana tak rasa tercabar.
Dia tak luah.
Dia tak menangis.
Dia cuma senyap… dan cari perhatian di tempat yang salah.
Bukan sebab nak curang,
tapi sebab dia tak tahu macam mana nak hadap kelemahan diri sendiri.
Dan di sinilah peranan seorang isteri yang kuat.
Bukan sebab dia tak pernah marah,
tapi sebab dia memilih untuk faham… walau hatinya sendiri pun tercalar.
Bukan mudah nak sabar bila rasa disisih.
Bukan senang nak tenang bila tahu suami 'layan' orang lain kat media sosial.
Tapi kalau dalam hati masih ada doa,
masih ada rasa nak pertahankan rumah tangga…
itu tandanya cinta kalian masih kuat.
Kadang-kadang… lelaki tak perlukan isteri yang sempurna pun..
Dia cuma perlukan seseorang yang tetap ada
walaupun dia sendiri sedang belajar untuk jadi lebih baik.
Yang tetap setia, walau terluka.
Yang tetap mendoakan, walau keliru.
Yang tetap percaya, walau hati diuji.
Kerana bila isteri kuat,
insyaAllah rumah tangga masih boleh diselamatkan.
Pelan-pelan. Sama-sama belajar semula.
Dengan sabar.
Dengan reda.
Dengan kasih yang diperbaiki bersama.
Tak ada suami yang sempurna.
Tak ada isteri yang tak pernah terluka.
Tapi bila dua-dua memilih untuk bertahan…
Allah akan bantu. InsyaAllah.
Lelaki mungkin tak selalu pandai mempamerkan luka mereka, tapi isteri yang sabar…
selalunya tahu cara untuk menenangkan semula.
Tak semua lelaki yang salah itu jahat. Kadang, mereka pun manusia yang terluka.
Dan tak semua perempuan yang bertahan itu lemah.
Ada yang bertahan sebab dia tahu, cinta sebenar bukan lari waktu susah.
Dan saya masih ulang dalam hati:
“Kadang, satu ruang untuk didengar lebih menyelamatkan daripada seribu nasihat untuk berpisah.”
Comments