Rahsia Ketenangan Hati



Ramai di antara kita rasa dah ‘maafkan’, tapi kenapa masih belum tenang?. Masih teringat, masih terkilan? Sebenarnya, memaafkan itu ada lapis-lapisnya. Dan redha itu pula letaknya lebih tinggi dari sekadar memaafkan. 

Memaafkan bukan sekadar tak ungkit atau tak marah. Ia bermula bila kita benar-benar tak lagi menyimpan kebencian, tak lagi berperang dalam hati bila terkenang apa yang pernah berlaku. Tapi selagi masih ada sisa luka dalam diam, itu tandanya kita masih dalam proses, belum selesai. 

Nak faham erti sebenar memaafkan?. Belajar mengenal Allah. Bila kita mula kenal sifat-sifat Allah seperti Al-Tawwab, Al-Ghaffar kita mula sedar bahawa Allah itu Maha Menerima taubat, berkali-kali, tanpa jemu. Dan bila kita benar-benar percaya pada sifat itu, kita akan lebih mudah memaafkan. Sebab kita tahu, manusia itu memang diuji untuk saling menyakiti dan saling belajar memaafkan. 

Kadang-kadang, kesalahan orang pada kita itu sebenarnya ‘alat’ untuk Allah ampunkan dosa kita. Jadi, reaksi kita terhadap orang itu, adalah tanda kita faham atau belum jalan ilmu ini. 

Bila kita sudah mampu memaafkan sepenuh hati, tenang mula bertamu. Dan dari situlah jalan ke redha terbuka. Redha itu bila tiada lagi pergelutan dalam hati. Menerima dengan penuh yakin bahawa apa yang berlaku itu dengan izin Allah. Dan bila redha terhadap Allah itu tinggi, memaafkan orang seolah jadi perkara kecil sebab kita nampak semuanya dalam kaca mata ‘ini semua dari Allah’. 

Kita tak lagi nampak manusia itu sebagai ‘penyebab’, tapi sebagai sesama hamba, yang juga sedang melakonkan takdir masing-masing. 

Semoga kita terus belajar. Tentang sabar. Tentang memaafkan. Tentang redha. Semoga hati kita dilapangkan dengan ilmu dan ditenangkan dengan iman. Aamiin.

Comments

Popular posts from this blog

Kereta Sewa Perth 2018

TANDA-TANDA TERKENA GESTRIK

Kifarah